Wednesday, March 7, 2007

Generasi Muda Islam perlu Kekuatan Minda


Generasi muda di negara ini merupakan kelompok terbesar yang mengisi ruang populasi dan jumlah keseluruhan kependudukan negara. Dianggarkan sebanyak 50% daripada seramai lebih kurang 24 juta penduduk negara ini diisi oleh mereka yang berusia antara 15 hingga 40 tahun. Kadar ini membayangkan betapa negara ini dicorak oleh mereka sama ada dari segi keperluan sumber manusia, pendidikan, kesenian dan hiburan, gaya hidup dan sebagainya yang agak lebih menonjol berbanding keperluan lain khususnya dalam bidang kesihatan dan perubatan (jika bukan kerana gejala AIDS dan dadah). Ini juga menunjukkan mereka sebagai kelompok masyarakat yang memainkan peranan yang amat besar dan penting dalam jatuh bangun sesebuah negara. Apa juga yang mereka lakukan sebenarnya tetap akan memberi implikasi kepada kesejahteraan negara.
Dalam usaha untuk menjadi sebuah negara membangun dan maju setanding dengan negara lain, setiap anggota masyarakat terutamanya generasi muda Islam seharusnya bersedia untuk menerima perubahan yang membantu kepada tercapainya matlamat tersebut. Kerajaan kita sering menyeru golongan muda negara ini supaya jangan takut untuk menyertai kepesatan dunia teknologi maklumat. Generasi muda Islam harus merebut peluang ini. Dalam era globalisasi ini, mereka yang tidak turut serta akan ketinggalan dan mungkin juga boleh menjadi mundur dalam sekelip mata, paling tidak pun ketinggalan dari segi penguasaan ilmu dan maklumat terkini. Zaman ini mengakui bahawa maklumat adalah keuntungan dan mungkin juga sebagai satu komoditi. Mereka yang bermaklumat adalah mereka yang akan mencipta dan memberi keuntungan dan senario kini pula melihat keuntungan bukannya wang semata-mata, tetapi biasanya maklumat lah yang membuat wang. Inilah yang dikenali sebagai knowledge based economy atau k-ekonomi, sebahagiannya. Memandangkan peri pentingnya keterlibatan generasi muda secara langsung dalam mencorakkan pembangunan negara, pihak kerajaan pula tidak berat tangan dalam menyediakan pelbagai ruang dan peluang kepada mereka supaya mereka dapat bersama menyertai pembangunan ini, sejajar dengan hasrat kerajaan. Di antaranya ialah dengan menyediakan prasarana berkaitan teknologi maklumat, peluang pendidikan dan perniagaan berkaitan IT, serta lainnya. Senario semasa generasi muda Islam negara ini memperlihatkan kepada umum bahawa mereka lebih tertumpu dalam bidang-bidang yang bukan menjadi keutamaan dalam arus perdana bagi mencapai kemajuan negara. Jika ada pun, bilangannya amat terhad berbanding bilangan generasi muda dari kaum-kaum lain. Mereka seumpama tidak bersama dalam mempelopori atau menerajui arus perdana wawasan negara. Akibatnya mereka gagal untuk turut serta dalam mencorakkan hala tuju dan wawasan kemajuan negara. Ini merupakan di antara beberapa faktor mengapa mereka agak terkebelakang dan ketinggalan. Perkara utama yang menghalang keterlibatan mereka dalam perkara ini adalah sikap kurang keyakinan diri di samping tiada sokongan dari segi contoh teladan dan idola yang baik yang boleh diikuti dan inilah juga punca kepada kelemahan minda yang mereka alami. Keyakinan diri adalah sumber kekuatan peribadi dan idola yang baik merupakan contoh yang dapat menyokong ketrampilan personaliti mereka. Generasi muda Islam memang wajar menjadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh dan ikutan sahsiah mereka. Firman Allah dalam surah Al Ahzab ayat 21 bermaksud: Sesungguhnya ada pada diri Rasululluh itu contoh teladan yang baik bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kebaikan hari Kiamat dan banyak pula mengingati Allah.
Di samping itu, penguasaan dalam bidang sains dan teknologi juga merupakan satu lagi cabaran untuk mencapai tahap negara maju. Bidang kritikal sains dan teknologi seperti perubatan, bio informasi dan bio teknologi, sains angkasa, kejuruteraan dan lain-lain seharusnya menjadi tarikan minat kepada generasi muda Islam. Penguasaan mereka dalam bidang ini akan menjadikan mereka sebagai bangsa yang terkehadapan sebagaimana terkehadapan dan majunya Islam pada awal-awal kemunculannya. Sejarah membuktikan pengusaaan umat Islam dalam ilmu sains dan teknologi, falsafah, kejuruteran, astronomi dan sebagainya di samping penguasaan dalam ilmu Al Quran dan Hadis, Tasawuf, ilmu Tauhid dan sebagainya, telah menjadikan mereka maju dan dihormati di serata pelosok dunia pada ketika itu. Sebagai umat yang berilmu, umat Islam amat berkuasa di zaman itu. Gaya hidup, budaya dan bahasa mereka telah menjelajahi seluruh alam semesta. Dari Tanah Arab, hinggalah ke Amerika Syarikat dan negara China, seterusnya ke Asia Tenggara.
Perlu diingat bahawa umat Islam maju pada ketika itu bukan lah kerana penguasaan mereka dalam bidang sains dan teknologi semata-mata. Mereka tidak maju kerana ilmu sains dan teknologi atau ilmu keagamaan semata-mata. Mereka maju kerana penguasaan pemikiran dan akhlak mereka yang telah dibentuk berdasarkan kepada ilmu-ilmu keagamaan dan ilmu-ilmu yang berasaskan pentaakulan dan kepintaran pengetahuan dalam asas sains dan teknologi dan ini didorong oleh tema dan konsep yang terdapat dalam pengkajian mereka terhadap Al Quran. Ketika itu mereka amat dihormati dan disegani, dan ilmu, kajian serta penyelidikan mereka telah menjadi tumpuan umat manusia khususnya dari Eropah. Masyarakat Eropah pada ketika itu datang untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam yang boleh membawa kemajuan dan kuasa dalam kehidupan mereka, tetapi menolak semua bentuk nilai ketuhanan dan kemanusiaan yang terdapat dalam ajaran agama Islam. Sejarah mengakui kerakusan mereka ini apabila sedikit-demi sedikit negara-negara Islam diserang oleh pelbagai tentera Eropah. Dalam tahun 1492, pemerintah Islam Granada terpaksa menyerahkan negara mereka kepada tentera Sepanyol dan membina penempatan baru di Afrika Utara, sementara itu, tentera Inggeris-Peranchis telah menyerang Turki dalam tahun 1920 an dan dikuasai pula oleh Greek. Turki pernah dilabel sebagai Orang Sakit Eropah kerana ketidakpastian jatidiri penduduknya kesan penjajahan tersebut.
Walaubagaimanapun, umat Islam boleh mengulangi dan memiliki semula kegemilangan mereka andainya mereka kembali kepada ajaran Islam dengan minda yang lebih terbuka dan seimbang. Keterbukaan minda generasi muda menuntut agar pandangan mereka tentang urusan kehidupan berada dalam lingkungan nilai-nilai Uluhiyyah dan Rububiyyah sebagaimana diajar oleh Islam. Nilai-nilai berkenaan lah yang akan membentuk piawaian dan garis panduan yang seharusnya mereka turuti apabila berurusan dalam kehidupan. Nilai-nilai ini juga yang akan mencetuskan keseimbangan minda, agar tidak terlalu ekstrim ketika menilai kehidupan. Menjauhi ekstrimisma, bukan sahaja dalam urusan duniawi, tetapi juga dalam memandang dunia ini, juga satu tuntutan Islam. Firman Allah dalam surah Al Qasas, ayat 77 bermaksud: Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah dari kebaikan Hari Akhirat dan jangan pula lupa mencari kebaikan kehidupan dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepada kamu, dan janganlah membuat kerosakan, sesungguhnya Allah tidak menyukai golongan yang membuat kerosakan.